Sejarah Sekolah

Posted by Admin On 12:35 PM

SEJARAH SEKOLAH


Sekolah Kebangsaan FELDA Sebertak mula dibina pada sekitar tahun 1980 akibat daripada desakan penduduk Felda Sebertak yang berkehendakkan sebuah institut pengajian yang Iebih sempurna bagi anak-anak mereka menuntut ilmu. Di atas sebidang tanah milik Felda Sebertak seluas 4 ekar , kerja-kerja pembinaan dimulakan sehingga terbinanya sebuah blok bangunan 2 tingkat yang memuatkan 6 buah kelas dan sebuah bilik pentadbiran serta satu bangunan kantin.

Pada tanggal 3 Januari 1981 sessi persekolahan yang pertama bermula dengan kemasukan pelajar seramai 360 orang di mana secara purata , 60 orang bagi setiap bilik darjah. Diterajui oleh Guru Besar yang pertama iaitu Encik Kamaruzaman Bin Sulaiman serta 7 orang tenaga pengajar , warga Sekolah Kebangsaan LKTP Sebertak , para pelajar mulai melalui sesi pengajaran dan pembelajaran sekali pun terdapat begitu banyak kekurangan dari segi infrastruktur dan bahan bacaan. Pada ketika itu , sesi persekolahan berlangsung secara 2 sesi iaitu pelajar tahun 1 , 5 dan 6 pada waktu pagi dan 2 , 3 dan 4 pada waktu petang.

Masalah kekurangan kerusi dan meja diatasi dengan meminjam daripada pihak Sekolah Agama Rakyat yang pada ketika belum berfungsi sepenuhnya manakala masalah kekurangan buku teks pula diatasi dengan membuat pinjaman daripada sekolah-sekolah yang berhampiran. Selain daripada itu , kantin sekolah juga tidak lagi memulakan peranannya menyebabkan beberapa orang pelajar mengambil inisiatif untuk membuat jualan kuih muih secara persendirian pada waktu rehat.

Namun begitu , pihak Felda tidak mengambil ringan masalah yang dialami dengan membuta kerjasama dengan pihak sekolah dengan menyediakan beberapa buah rumah peneroka sebagai tempat tinggal tenaga pengajar sekolah ini.

Namun begitu , sekitar tahun 1985 , sekolah ini mulai mengalami sedikit demi sedikit perubahan dari segi penambahan bangunan serta infrastruktur. Bermula dengan penambahan satu blok yang memuatkan 6 buah kelas yang dikenali sebagai 'bangunan kilat' pada tahun 1985 , kemudian diikuti sebuah lagi blok bangunan yang memuatkan 5 buah kelas termasuk sebuah bilik Kemahiran Hidup pada tahun 1989. Para pelajar juga tidak lagi melalui sesi persekolahan 2 sesi dan kantin sekolah telah mula beroperasi sepenuhnya.

Menjelang tahun 2000 , SKS terus mengalami perubahan di mana bilik untuk pelajar Pra — Sekolah telah dibina ( 2002 ) , sebuah makmal Sains ( 2000 ) , bangunan surau ( 1999 ) dan makmal komputer pada tahun 2001. Sehingga awal tahun 2004 , SKS telah pun dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang lengkap bagi kemudahan pelajar di samping bilangan tenaga pengajar yang mencukupi bagi memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran. Namun begitu , SKS masih mempunyai beberapa perancangan bagi melengkapi dan memudahkan pelajar. Sebagai contoh , pihak sekolah masih memohon sebuah makmal Sains dan Bilik Kemahiran Hidup yang lengkap di samping sebuah bilik persalinan pakaian bagi pelajar dan stor bagi peralatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang lebih selesa dengan pihak Jabatan Pelajaran Negeri.

Sepanjang penubuhan SKS , ia bukan sahaja mengalami perubahan dari segi penambahan bangunan , malahan perubahan lencana sekolah turut berlaku pada tahun 1995 di mana lencana asal yang telah direka oleh En. Mokhtar telah diubahsuai oleh En. Asri Bin Abdullah. Manakala lagu sekolah ini telah dicipta pada tahun 1997 hasil idea oleh En. Shamsuddin bin Resat berteraskan moto sekolah , `Berakhlak , Berketerampilan dan Bertakwa'. Selain daripada menerima bantuan sepenuhnya daripada Kementerian Pelajaran ,

SKS turut menerima bantuan sepenuhnya daripada beberapa pihak tertentu bagi memastikan ia memperolehi kemudahan infrastruktur yang lebih sempurna. Sebagai contoh , sumbangan dalam bentuk wang ringgit oleh Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Temerloh iaitu Datuk Sarit membolehkan pihak SKS mempunyai surau yang selesa , pertambahan buku di perpustakaan serta peralatan elektronik yang lebih canggih. Selain itu , sumbangan daripada pihak Felda , pihak JKKR serta individu-individu yang lain membuatkan SKS mampu bersaing dengan sekolah lain dan dapat berfungsi dengan lebih cekap dan berkesan. Kini tahun 2008 SKS telah mendapat bangunan tambahan 3 tingkat yang dijangka siap tahun 2009.


SENARAI NAMA GURU BESAR
SK FELDA SEBERTAK

Kamaruzaman bin Sulaiman ( 5 Jan 1981 - 1 Okt 1984 )
Shamsuddin bin Awang Ahmad ( 1 Okt 1984 - 7 Okt 1987 )
Abdul Razak bin Mahmud ( 7 Okt 1987 - 31 Okt 1989 )
Zainal Abidin bin Alang ( 16 Nov 1989 - 1 Dis 1994 )
Md. Yusof bin Ghani ( 16 Mac 1995 - 15 Ogos 2003 )
Maznah Zainun Bt Mahmud ( 1 Nov 2003 - 30 Dis 2003 )
Narimah bt Hasan ( 31 Dis 2003 - 31 Ogos 2004 )
Jamaluddin bin Ahmad ( 1 Sept 2004 - 23 Jan 2005 )
Mohd. Pirzan bin Md. Noh ( 24 Jan 2005 - 1 Jun 2011 )
Mek Isah bt Che Mat ( 1 Jun 2011 - 27 Dis 2013 )
Noriati bt Yusof ( 27 Dis 2013 -            )

Website counter